DARI MANA NAK KE MANA

By issey on 9:36 AM

comments (0)

Filed Under:

Tidak lama dulu, AKADEMI JUTAWAN menganjurkan peraduan menulis slogan untuk akademi tersebut. Hadiahnya memang lumayan tetapi peraduan itu hanya terbuka kepada bekas siswa akademi tersebut sahaja.

Banyak sekali slogan menarik yang diterima, akhirnya slogan yang paling senang diingat, paling biasa didengar telah dipilih – “Dari mana nak ke mana.” Mudah, dan kemudian kekal menjadi slogan akademi tersebut. Slogan tersebut dikhususkan untuk siswa dan akademi tersebut juga. Dari mana datangnya siswa, kedudukan, tahap sekarang dan ke mana hendak dituju selepas keluar dari Akademi Jutawan. Juga untuk Akademi Jutawan itu sendiri – ke arah mana yang hendak dituju.

Bekas siswa juga masih tidak faham dengan perjalanan Akademi Jutawan. Seolah-olah ia ‘takut’ untuk diketengahkan – bergerak dengan sepi. Tidak ada sebarang iklan dan publisiti untuk akademi tersebut, sejak mula ditubuhkan. Hanya berlandaskan iklan terbaik – “dari mulut ke mulut” sahaja. Kewujudan Akademi Jutawan diketahui bukan melalui iklan. Kemungkinan besar ia mengikut sunah perjuangan Rasulullah SAW di mana pada peringkat awal, berdakwah dalam senyap. Mungkin juga untuk menguji sejauh mana kekuatan akademi tersebut – walaupun tersembunyi masih dicari-cari, sebagai memenuhi naluri semula jadi manusia – “yang tersembunyi, yang tertutup itulah yang dicari dan dibongkar.” Mungkin juga untuk menguji terlebih dulu kekuatannya – berapa besar impak dari akademi tersebut. Mungkin nanti, bila sampai masa, bila telah ada peratusan tinggi bekas siswa Akademi Jutawan yang mencapai tahap jutawan barulah dihebohkan. Sekarang ini mungkin belum tinggi peratusannya. Yang tinggi peratusannya ialah yang telah bebas dari belenggu kemiskinan dan sedang menuju ke arah jutawan.

Yang pasti sasarannya adalah manusia yang mempunyai kemahuan tinggi sahaja. Kemahuan tidak mencukupi melainkan kemahuan tinggi. Bahkan kemahuan yang tinggi pun masih tidak mencukupi selagi kemahuan itu masih belum berubah menjadi keperluan.

Lihat contoh ini:

1. Saya teringin hendak keluar
2. Saya mahu keluar
3. Saya perlu keluar

Apa bezanya? Pasti ada bezanya. Yang pertama hanya teringin sahaja. Yang kedua hanya berkemahuan – mungkin keluar, mungkin tidak. Yang ketiga akan keluar sebab memang berkeperluan untuk keluar, bukan sekadar kemahuan apatah keinginan. Dia benar-benar perlu, berkeperluan untuk keluar.

Sekarang gantikan keluar itu dengan “Keluar dari kemiskinan menuju kekayaan.” Jadi, tak cukup hanya berkemahuan kuat, jika ia bukan keperluan, apatah lagi setakat keinginan. Anda mestilah benar-benar perlu untuk keluar dari keadaan sekarang, menuju kepada kekayaan dan seterusnya jutawan.

Bagaimana menukar kemahuan kepada keperluan? Sudah tentu dimulakan dengan keinginan. Jika tidak ada sebarang keinginan, rasanya bukan manusia normal sebab manusia normal dibekalkan dengan nafsu oleh Allah SWT. Keinginan yang berterusan akan menjadi kemahuan. Kemahuan yang berterusan akan menjadi kemahuan yang kuat. Kemahuan yang kuat, berterusan, mendesak bertalu-talu (secara natural, bukan paksaan), secara natural akan menghasilkan keperluan.

Keinginan >> Kemahuan >> Kuat Kemahuan >> Keperluan

Namun jika tidak secara natural, jika dengan paksaan, keinginan akan kekal menjadi keinginan dan angan-angan sahaja. Dari keinginan hinggalah membawa kepada kekayaan dan jutawan memerlukan landasan, sebab tidak mungkin terjadi secara otomatik. Landasan itulah yang akan dipelajari sehari suntuk di Akademi Jutawan. Sekiranya tidak kecukupan masa, kelas akan bersambung esoknya. Tidak ada penglipur lara, motivasi, harapan palsu, berfikir positif, sebaliknya fakta. Bahkan tidak ada yang 100 peratus baru di dalam pendidikan Akademi Jutawan – ia hanya mengingatkan semula akan perkara lama yang dianggap remeh dan biasa. Contohnya – tidak ada yang baru dalam ilmu pelayaran. Ia telah dilaksanakan beratus tahun dahulu oleh Ibnu Sina dan Cheng Ho.

Kerana itu jugalah dikatakan, Akademi Jutawan mengenakan yuran yang tinggi. Bahkan ada yang mengatakan antara yang tertinggi. Rupanya untuk menguji sejauh mana keperluan seseorang. Hanya yang benar-benar berkeperluan sahaja yang datang mendaftar – atau yang menjadi siswa hanyalah orang yang mempunyai keperluan untuk keluar dari kemiskinan, menuju kekayaan dan jutawan. Kalau hanya setakat keinginan, tidak akan mendaftar. Hanya yang berkeperluan dan sanggup mengeluarkan yuran yang tinggi sahaja yang akan menghargai dan tergolong dalam peratusan yang tinggi untuk menjadi jutawan.

Lagipun, kalau berkeperluan, akan diusahakan sedaya-upaya tanpa sebarang alasan. Berbeza dengan sekadar berkemahuan, apatah lagi setakat berkeinginan.

Tanpa mengira apa latar belakang siswa – ada yang miskin, sederhana dan kaya – mereka yang hadir adalah mereka yang berkeperluan. Yang miskin dan sederhana berkeperluan untuk keluar dari kemiskinan. Yang kaya pula berkeperluan untuk mencapai tahap jutawan. Yang telah memiliki harta melebihi RM1 juta pun hadir, kerana hendak ke peringkat yang lebih banyak lagi. Ada satu nak dua, ada dua nak sepuluh – itulah sifat semula jadi manusia.

DARI KEINGINAN KEPADA KEPERLUAN

Ada dua keperluan utama yang diajar pada peringkat permulaan (sebelah pagi):

1. Keinginan >> Kemahuan >> Kuat Kemahuan >> Keperluan >>> keluar dari kemiskinan.
2. Keinginan >> Kemahuan >> Kuat Kemahuan >> Keperluan >>> bergerak ke arah kekayaan.
3. Keinginan >> Kemahuan >> Kuat Kemahuan >> Keperluan >>> bergerak ke arah jutawan.

3 pergerakan yang diajar di Akademi Jutawan adalah perkara biasa. Oleh kerana biasa, ia sering dilupakan begitu saja. Di dalam kelas Akademi Jutawan diajar betapa pentingnya pergerakan mengikut sunah alam. Yang paling asas, yang sudah terlalu biasa diberi peringatan semula kemudian disedari bahawa ia sesungguhnya bukan lagi perkara biasa dan remeh. Ia perkara penting yang dilupakan.

Contoh mengikut sunah alam ialah pembesaran pokok. Tidak terus tiba-tiba pokok besar. Ia bermula dari benih yang kecil, ditanam, dijaga dengan baik, menjadi anak pokok barulah beberapa tahun kemudian menjadi pokok.

3 fasa atau pergerakan yang sangat ditekankan sebelum menjadi jutawan adalah:

Fasa 1: Keluar dari kemiskinan,
Fasa 2: Bergerak ke arah kekayaan, sesudah keluar dari kemiskinan,
Fasa 3: Bergerak ke arah jutawan, sesudah menjadi kaya.

Fasa demi fasa, itulah cara sebenar untuk menjadi jutawan, bukannya terus ke fasa 3 dan menjadi jutawan segera.

Mengapa lebih mengutamakan keluar dari kemiskinan? Semua orang miskinkah? Tidak semua orang miskin dan sudah semestinya tidak semua orang kaya. Namun, mengikut kajian, peratusan yang miskin memang tinggi.

Dikategorikan miskin bila perolehan tidak mencukupi untuk menampung kehidupan atau perbelanjaan (yang paling sederhana, bukan bermewah-mewah) melebihi perolehan menyebabkan terpaksa berhutang atau menjual harta benda untuk menyara kehidupan. Bukankah memang ramai yang begitu di sekeliling kita, tambah-tambah lagi keadaan sekarang di mana barang-barang (terutamanya barang-barang keperluan untuk menyambung nyawa) tidak pernah menurun sebaliknya semakin meningkat, kadar inflasi yang semakin tinggi (jika ada yang mengatakan rendah ia hanyalah cakap-cakap politik yang tidak berasas) menyebabkan nilai mata wang yang semakin menurun, keperluan asas seperti minyak, perubatan, pendidikan tidak pernah menurun sebaliknya sentiasa saja meningkat, hari demi hari. Dalam masa yang sama, peningkatan perolehan (selalunya gaji) amat kecil dan perlahan. Bahkan, lebih menyakitkan hati peningkatan perolehan (seperti gaji) selalunya diikuti serta-merta dengan kenaikan harga barang dan keperluan asas.

Jadi, memang tepatlah, lebih ramai yang miskin – peratusannya lebih tinggi. Kerana itu fasa pertama yang diajar di Akademi Jutawan ialah keluar dari kemiskinan, bukan terus diajar bagaimana hendak menjadi jutawan. Itulah yang dimaksudkan ‘mengikut sunah alam’.

Dari buruk kepada baik, dari sakit kepada sembuh, dari kurang kepada lebih, dari tidak ada kepada ada, dari sempit kepada lapang, dari sikit kepada banyak – itulah motivasi terbaik yang mengikut sunah alam. Ikuti saja pendidikan dari alam. Bahkan, jika difikir-fikirkan, itulah sunah Rasulullah SAW – dari jahil kepada alim. Baginda membawa masyarakat yang tidak tahu (jahiliah) kepada tahu (alim). Sunah sudah disediakan, ikuti sahaja – jangan menentang fitrah manusia. Berperingkat, tidak terus sekaligus.

Setiap sesuatu yang terjadi di depan mata mengandungi mesej dan pendidikan. Saban hari terlihat pokok yang tidak tiba-tiba terus besar, pembinaan bangunan setingkat demi setingkat – masih lagi berangan-angan hendak kaya dengan segera?

DIJADIKAN MODUL

Slogan “Dari Mana Hendak Ke Mana” telah dijadikan modul Akademi Jutawan. Memang itulah asas untuk keluar dari belenggu kemiskinan dan bergerak menuju kekayaan, jutawan. Hijrah bukan hanya untuk sambutan tahunan tetapi dilaksanakan dalam kehidupan harian. Begitu juga dengan Akademi Jutawan – menerapkan konsep hijrah – dari keburukan kepada kebaikan; dari kekurangan kepada kelebihan. Akademi Jutawan menyediakan ilmu – siswa bertindak menggunakan dan kemudian menyediakan sendiri landasan untuk berhijrah dari kemiskinan kepada kekayaan.

Dari mana hendak ke mana dibentangkan pada sebelah pagi. Inilah asas paling utama di dalam pembelajaran ke arah menjadi jutawan, kerana kebanyakan dari kita hanya tentukan arah yang hendak dituju tanpa mengambil kira 2 perkara penting sekarang – di mana berpijak sekarang dan apa yang dipijak.

“Dari mana” sering dilupakan bila “Hendak ke mana”. Kedua-duanya adalah amat penting dan tidak boleh diabaikan. Ini sekaligus menolak kata-kata karut, “Tak kiralah di mana anda bermula, yang penting di mana anda berakhir.” Jika permulaan (“Dari mana”) sudah tidak betul, bolehkah sampai di tempat tuju?

1. Kekuatan sekarang
Apa kekuatan sekarang yang boleh digunakan untuk keluar dari kemiskinan dan bergerak ke arah kekayaan. Setiap manusia pasti mempunyai sesuatu untuk dijadikan kekuatan. Keluarga, kesihatan, sikap, kewangan dan sebagainya jika dicari, mesti terjumpa kekuatannya.

2. Kelemahan sekarang
Apa pula kelemahan sekarang yang menghalang untuk berganjak dari keadaan sekarang kerana keadaan yang dikehendaki? Setiap manusia pasti ada sesuatu yang menghalang seperti keluarga, kesihatan, sikap, kewangan dan sebagainya.

Mengetahui kekuatan dan kelemahan pada permulaan (“Dari mana”) memang amat penting dan sangat membantu. Sama sekali tidak boleh diabaikan salah satu atau hanya menumpukan lebih kepada “Hendak Ke Mana”.

Apa yang mesti dilakukan sesudah mengetahui KEKUATAN dan KELEMAHAN sekarang? Sebelum itu, kedua-duanya mesti dianalisis terlebih dahulu. Dengan jujur:

1. Catatkan KEKUATAN sekarang di sebelah kiri
2. Catatkan KELEMAHAN sekarang di sebelah kanan

Sesudah tercatat semua, hendaklah:

1. Menguatkan lagi KEKUATAN
2. Diubah, KELEMAHAN menjadi KEKUATAN.
3. Memastikan bahawa KEKUATAN mesti mengatasi KELEMAHAN.

Bagaimana cara mengubah KELEMAHAN kepada KEKUATAN. Tidak semua kelemahan boleh diubah kepada kekuatan. Sebahagiannya boleh diubah dengan mudah, sebahagiannya mengambil masa untuk mengubahnya, dan sebahagian lagi tidak dapat diubah.

Salah satu cara mengubahnya ialah melalui soalan: “Perlukah?” Contohnya: anda mendapati salah satu kelemahan anda ialah sikap tamak. Segala rupa hendak ditangani sendiri kerana tak mahu orang lain memperolehinya – dari perkara sekecil-kecilnya hinggalah perkara yang besar – kalau boleh anda seorang saja yang mendapatnya. Ia telah dicatatkan sebagai “Tamak” dalam ruang Kelemahan. Anda hendaklah mengubahnya menjadi kekuatan. “Tamak” hendaklah diubah menjadi “Sama-sama.” Jika tidak, selamanya ia akan menghalang langkah anda kerana ia adalah kelemahan yang mengatasi kekuatan. Anda mesti bertanya, “Perlukah saya bersikap tamak?” Apa jawapannya? Ingati kembali masa lalu, apa keburukan yang diperolehi dari sikap tamak itu. Jika akan hanya ada keburukan, mengapa diteruskan? Buat satu keputusan muktamad bahawa itulah hari terakhir anda bersikap tamak.

Begitulah seterusnya, cari satu per satu kelemahan anda dan buat keputusan muktamad untuk berhenti dari mengamalkannya. Ia secara otomatik akan menambahkan lagi kekuatan anda. Contoh lagi: Selama ini kewangan sentiasa menjadi masalah hidup. Anda menganggap ia sebagai masalah yang menghalang usaha anda untuk bebas dari kemiskinan dan menuju kekayaan. Anda telah memasukkannya ke dalam ruangan kelemahan. Tukar ia menjadi kekuatan dengan menyoal, “Perlukah saya menjadikan masalah kewangan sebagai penghalang?” Selama ini, kerana menganggap sebagai masalah dan kelemahan adalah punca mengapa sentiasa terhalang untuk keluar dari kemiskinan. Kerana sentiasa menumpukan kepada masalah kewangan menjadikan semakin bertambah-tambah miskin. Buat keputusan muktamad – itulah hari terakhir anda mengaitkan kewangan dengan masalah. Bukan masalah lagi, sebaliknya ia adalah cabaran. Jadi, “Suka cabaran” hendaklah dimasukkan ke dalam ruang kekuatan.

Kekuatan akhirnya akan mengatasi kelemahan – itulah sunah alam. Kekuatan itulah yang akan membantu anda keluar dari kemiskinan dan seterusnya bergerak ke arah kekayaan.

Dari mana hendak ke mana diteruskan lagi untuk mengenali kedudukan sekarang supaya boleh berpijak di bumi nyata. Contohnya, jika dari Kuala Lumpur ke Ipoh mengambil masa 3 jam dan perbelanjaan antara RM50 hingga RM100, tetapi kita kesuntukan masa, hanya mempunyai masa katalah 1 jam sahaja dan wang sebanyak RM20 sahaja, apakah cara kita? Memang amat penting sekali mengenali kedudukan sekarang supaya berpijak di bumi nyata – tidak sekadar berfikir positif boleh sampai ke tempat tuju tanpa mengambil tahu kedudukan sekarang.

Sekali lagi ambil contoh perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh tadi. Katalah, anda tidak tahu di mana kedudukan sekarang (Kuala Lumpur), tahukah ke mana yang hendak dituju untuk sampai ke Ipoh? Ke Utara? Selatan? Timur? Barat? Walaupun anda sudah menetapkan kenderaan untuk ke Ipoh (kereta), soalnya hendak dihalakan ke mana kereta anda itu.

Untuk itu, hendaklah dicatatkan:

1. Berapa kekuatan kewangan anda sekarang? Berapa banyak harta anda sekarang? Jika anda mengatakan tidak ada, ia adalah mustahil kerana setiap orang mempunyai sesuatu yang boleh ditukar kepada kewangan. Mungkin anda mempunyai tulisan yang belum dibukukan – tidak dihantar kepada penerbit kerana ragu-ragu kemungkinan tidak diterbitkan. Soalnya, bagaimana boleh tahu tidak akan diterbitkan jika tidak dihantar ke penerbit? Setelah diterbitkan, ia adalah sumber kewangan. Mungkin juga anda mudah sekali mendapat pinjaman dari saudara yang pemurah. Atau mungkin anda mempunyai tanah terbiar (wang terbiar) yang boleh diusahakan dan mendatangkan sumber kewangan. Jika diteliti, setiap orang memang mempunyai harta dan sumber kewangan.
2. Masa yang diperuntukkan untuk sampai ke tahap jutawan. Jangka masa antara 5 hingga 10 tahun adalah standard. Jika kurang dari itu adalah seperti mustahil. Contohnya dalam perjalanan ke Ipoh tadi – standard adalah 3 jam atau lebih. Jika anda cuba mengurangkan – ia sudah tidak normal. Risikonya amat tinggi – terlibat dalam kemalangan dan boleh membawa kematian.

ASAS RM1 JUTA

Dari mana hendak ke mana? Ke mana yang hendak dituju dari sini? Hari ini perkataan “jutawan” seperti sudah terlalu lazim, tetapi malangnya kebanyakan yang menyebutnya tidak tahu apa sebenarnya jutawan itu. Bahkan yang menyebutnya pun tidak pernah tahu berapa digit sebenarnya angka juta. Jadi, kalau tidak tahu rupa bentuk apa yang dikehendaki, bagaimana boleh kita mendapatkannya? Umpamanya kita hendak mengambil buah naga tetapi kita sendiri pun tidak tahu rupa bentuk, sifat buah naga tersebut, walaupun ia tergolek di depan mata, pasti tidak diambil kerana tidak mengenalinya.

Kerana salah faham atau kerana tidak mahu tahu, asal saja ada banyak duit dikatakan jutawan. Atau mungkin ‘nampak’ banyak duit terus disebut jutawan. Hakikatnya, selagi belum mempunyai harta dan wang tunai sekurang-kurangnya RM1,000,000 belum boleh disebut jutawan. Bahkan itu tidak mencukupi untuk berada pada tahap jutawan jika hanya mengira aset sahaja tanpa mempedulikan liabiliti (tanggungan/hutang):

1. Jika aset (harta dan wang tunai) RM1 juta, liabiliti kurang dari 50% boleh dikategorikan sebagai jutawan.
2. Jika aset (harta dan wang tunai) RM1 juta, liabiliti lebih dari 50% tidak boleh dikategorikan sebagai jutawan.

Pada kebiasaannya, jutawan memiliki 2 jenis aset iaitu:

1. Aset mudah cair (wang tunai, selalunya 20% dari jumlah aset).
2. Aset tidak mudah cair (hartanah, saham, barang kemas, pelaburan, dan sebagainya).

Pada kebiasaannya juga, pemilikan aset tersebut tidak ‘beku’ sebaliknya aktif menghasilkan lebih banyak wang. Jika aset tersebut beku, peluang untuk kembali kepada kemiskinan dan liabiliti mengatasi aset adalah sangat mungkin. Jadi, aset anda mestilah mampu mendatangkan aliran pendapatan yang berterusan. Ia tidak boleh beku, kerana melalui masa dan inflasi, nilai akan susut. Bukan sekadar nilai, bahkan jumlahnya pun boleh susut. Kerana itu, syarat supaya berterusan berada di tahap jutawan adalah dengan memastikan aset menghasilkan perolehan berterusan. Jangan sampai ia beku begitu sahaja.

Jumlah RM1 juta itu memang banyak. Sekali lagi, “Dari mana” tadi digunakan untuk mendapat jumlah tersebut. Jumlah aset yang dimiliki sekarang untuk dijadikan ‘modal’ bagi mencapai jumlah RM1,000,000. “Dari mana” seterusnya ialah masa yang diperuntukkan untuk mencapai jumlah RM1,000,000 berdasarkan aset sekarang. Modal kewangan dan masa adalah amat penting sekali untuk berganjak keluar dari kemiskinan dan seterusnya bergerak ke arah jutawan.

Contohnya, jika sekiranya, modal kewangan anda sekarang RM500,000.00, dengan landasan tertentu, bolehlah anda menggandakannya menjadi RM1 juta pada tahun depan. Atau mungkin sudah ada RM700,000.00, bolehlah digandakan, menggunakan landasan tertentu menjadi RM1 juta. Tapi, bagaimana jika modal kewangan anda kini hanya RM10,000 sahaja? Sudah tentu dengan cara memanjangkan masa. Sebab itu masa antara 5 hingga 10 tahun adalah standard.

Untuk mengetahui gambaran masa yang perlu diperuntukkan, secara ringkasnya begini: Jika dalam setahun anda berjaya menghimpunkan aset sebanyak RM100,000 maka dalam masa 10 tahun anda telah sampai ke tahap jutawan. Jika dalam setahun anda menghimpun 10,000 setahun, maka dalam 100 tahun anda telah sampai ke tahap jutawan. Jika dalam setahun anda berjaya menghimpunkan RM1,000, maka dalam 1,000 tahun anda akhirnya berjaya menjadi jutawan.

TANPA MISI, TANPA TUJUAN

Di Akademi Jutawan, kewangan bukan misi utama. Walaupun matlamatnya hendak menjadi jutawan, itu bukan misi dan tujuan. Itu adalah matlamat atau gol. Misi dan tujuan mengatasi matlamat. Misi adalah – apa yang akan anda lakukan bila telah mencapai tahap jutawan. Untuk apakah aset yang diperolehi sebanyak sekurang-kurangnya RM1 juta itu? Itulah misi dan tujuan.

Misi dan tujuan ditetapkan pada permulaan. Misi dan tujuan adalah ibarat rumah api dalam pelayaran – untuk panduan pelayaran kapal laut. Misi dan tujuan akan dijadikan panduan sepanjang perjalanan menuju ke arah jutawan. Ia sama saja dengan perjalanan biasa setiap hari. Jika tidak ada arah dan misi, ia adalah perjalanan yang sia-sia sahaja. Masa habis, modal habis tetapi tidak sampai ke tahap jutawan.

Misi dan tujuan diasaskan oleh perkataan “sebab”. Semakin panjang misi dan tujuan anda, semakin ia kukuh dah amat tinggi peluang untuk mencapai taraf jutawan. Semakin banyak perkataan “sebab” di dalam misi dan tujuan anda, semakin kukuh misi dan tujuan anda. Jika hanya ada satu “sebab” maka ia adalah misi dan tujuan yang lemah dan kemungkinan untuk tidak tercapai amat pasti. Contoh misi dan tujuan yang lemah:

1. Saya hendak menjadi kaya sebab sudah bosan hidup miskin.
2. Saya hendak menjadi jutawan sebab hendak bebas berbelanja.
3. Saya memilih untuk menjadi jutawan sebab nak membawa keluarga saya ke tahap yang lebih tinggi.
4. Saya hendak menjadi jutawan sebab hendak membantu masyarakat.

Ia dikatakan misi yang lemah kerana hanya mempunyai satu sebab sahaja. Berikut adalah contoh misi dan tujuan yang kuat:

1. Dalam masa lima tahun lagi saya menjadi jutawan sebab saya sudah bosan hidup miskin, sebab dengan menjadi jutawan saya boleh memberi kesenangan kepada keluarga saya sebab mereka perlukan yang terbaik sebab itu juga adalah tanggung jawab saya.
2. Dalam masa lima tahun dari hari ini saya menjadi jutawan sebab saya hendak menggunakan kekayaan saya itu untuk membawa masyarakat di sekeliling saya ke arah kebaikan sebab ia adalah tanggung jawab saya dan suruhan agama.

Jadi, pastikan misi dan tujuan anda adalah murni, penuh kebaikan dan yang penting sekali tahap kewangan anda itu memberi kebaikan kepada seramai mungkin orang. Untuk itu, sekali lagi pastikan ia mempunyai sebaik mungkin sebab untuk dijadikan misi dan tujuan. Bukan mahu menjadi jutawan semata-mata sebaliknya mahu menggunakan tahap jutawan itu ke arah kebaikan. Itulah misi dan tujuan utama anda.

3 PERINGKAT MENUJU JUTAWAN

Di Akademi Jutawan diajar kedua-duanya: teori dan praktikal. Ada 3 peringkat kursus dalam sehari. Namun selalunya tak sempat dan terpaksa disambung keesokan harinya.

1. Pengenalan,
2. Teknikal,
3. Praktikal

Peringkat Pengenalan selalunya di sebelah pagi. Pada masa ini akan diperkenalkan segala yang asas mengenai perjalanan menjadi jutawan. Banyak menggunakan analogi supaya siswa benar-benar faham. Peringkat pengenalan ini memang berat tetapi diajar dalam bentuk yang agak ringan dan mudah difahami. Tanpa pengenalan ini, tak mungkin siswa akan faham peringkat teknikal dan praktikal.

Pada peringkat teknikal pula siswa diajar ilmu untuk menjadi jutawan menggunakan beberapa teknik penting seperti ilmu pelayaran, hukum-hakam yang mesti dilaksanakan termasuk hukum inflasi, nilai, hukum angka dan banyak lagi. Bila ilmu tersebut diamalkan, siswa mampu keluar dari kemiskinan dan seterusnya menuju kekayaan dan akhirnya menuju tahap jutawan.

Peringkat terakhir ialah peringkat praktikal. Selalunya peringkat ini dilaksanakan pada hari berikutnya kerana kesuntukan masa. Penginapan tidak disediakan jadi seboleh-bolehnya diselesaikan satu hari. Jika terlajak saja, kursus disambung keesokan harinya. Pada keesokan harinya, selalunya selama setengah hari atau sepenuh hari diadakan sesi praktikal.

Pada masa akan datang, khabar yang diterima, sesudah berpindah ke kampus sendiri, Akademi Jutawan akan menambah jumlah kelas, menyediakan asrama (diasingkan jauh lelaki dan perempuan), café, perpustakaan dan ruang untuk beristirahat. Sudah pasti surau yang luas.

Pada peringkat praktikal, siswa dikehendaki memilih pasangan untuk dijadikan kumpulan. Satu kumpulan 3 orang. Kumpulan ini akan kekal sehingga keluar dari Akademi Jutawan. Kumpulan yang dibina di dalam kelas ini akan sama-sama melaksanakan landasan untuk keluar dari kemiskinan, menuju kekayaan dan akhirnya mencapai tahap jutawan. Kerjasama ini kekal sehingga bila-bila dan sentiasa harmoni. Walaupun mereka tinggal berjauhan tetapi dengan segala kemudahan komunikasi sekarang ini – tidak ada masalah. Jika dianggap masalah – ia adalah alasan semata-mata. Bagaimanapun, semasa peringkat memilih pasangan, diutamakan yang berdekatan. Contohnya, siswa dari Seremban akan digabungkan dengan siswa dari Kajang dan Kuala Lumpur.

Landasan untuk sampai ke tahap jutawan, yang dipelajari pada peringkat pengenalan dan teknikal, dilaksanakan secara berkumpulan seramai 3 orang. Jika misalnya, kumpulan tersebut memilih perniagaan sebagai landasan untuk mencapai tahap jutawan, mereka akan menubuhkan syarikat Sendirian Berhad, mereka bertiga menjadi pengarah dan menjalankan perniagaan dengan harmoni. Tanpa keharmonian tak mungkin akan dapat mencapai misi dan tujuan.

Dari mana mereka memperolehi modal untuk memulakan perniagaan? Dari kekuatan kewangan yang dimiliki sekarang. Sikit wang mereka, sikitlah modal mereka – yang besar ialah kemahuan dan kesungguhan. Jika banyak wang dimiliki sekarang, banyaklah modal yang dilaburkan. Tetap ditambah dengan kekuatan kemahuan dan kesungguhan.

Rupanya inilah rahsianya. Tidak ada manusia yang boleh hidup sendirian. Itu rahsianya. Semua berpandukan alam. Berpasangan. Tentu ada sebab mengapa Allah SWT mencipta Hawa untuk Adam. Banyak bezanya bekerja seorang diri dengan kerja berpasukan, selagi kumpulan itu dalam keadaan harmoni. Peratusan untuk berjaya lebih tinggi jika bekerja mengikut sunah alam berbanding bersendirian.

Pada hari siswa keluar dari dewan kuliah, sesudah mempelajari dan melaksanakan ketiga-tiga peringkat – Pengenalan, Teknikal, Praktikal terjawablah sudah soalan yang selama ini berpusing-pusing secara berterusan di dalam fikiran atau dari dalam badan – “Layakkah saya menjadi jutawan?”
p/s teks ini ikhlas dari saya, ia boleh menjadikan kita manusia luarbiasa, kalau kita belajar dari orang yang dah berjaya seperti BILL GATES